1
1
SEREMBAN : Empat rakan termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan memiliki kemudahan rangkaian milik sebuah syarikat telekomunikasi pada pertengahan April lalu.
Tertuduh C.Ritadevi, 27, mengaku bersalah manakala tiga lagi tertuduh M.James, 42, M.R.Ilamaaran, 43, dan K.Sobana, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan fakta dan hukuman bagi Ritadevi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada 11 Mei depan.
Mengikut pertuduhan, Ritadevi telah didapati mempunyai dalam milikannya kemudahan rangkaian telekomunikasi milik Maxis Telecomunications Berhad iaitu tiga unit Huawei Unit Kawalan Radio (RRU) dan empat unit Huawei Quad Band Combiner.
Manakala James sebagai pengawal keselamatan, Ilamaaran (penghantar makanan) dan Sobana (suri rumah) dituduh telah didapati memiliki masing-masing satu unit Huawei RRU dan Huawei Quad Band Combiner.
Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemudahan rangkaian tersebut telah dikeluarkan secara salah daripada suatu kemudahan rangkaian sebagaimana yang diperihalkan di bawah Subseksyen 235(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 7.25 malam, 17 April lalu di tapak Stesen Pemancar Telekomunikasi Desa Kasia Nilai Spring dan 12.10 tengah malam, 18 April lalu di tepi jalan Taman Pinggiran Bayu, Mantin di Nilai.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 253(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Ritadevi, James dan Ilamaaran tidak diwakili peguam manakala Sobana diwakili peguam P.Barath.
Timbalan Pendakwa Raya, M.Pusppa tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi jika mahkamah membenarkan memohon jaminan tinggi kepada kesemua tertuduh.
Ritadevi dalam rayuannya memohon jaminan minima atas alasan bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji harian RM80 sehari selain menanggung ibu bapa.
Mahkamah membenarkan Ritadevi dijamin RM10,000 manakala James, Ilamaaran dan Sobana RM9,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan hukuman pada 11 Mei depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, enam tertuduh termasuk pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri empat unit Huawei RRU dan enam unit Huawei Quad Combiner milik Maxis Communications Berhad.
Enam termasuk empat tertuduh sama iaitu Ritadevi, 27, James, 42, Ilamaaran, 43, Sobana, 30, serta suaminya, A.Sivanathan, 31, (mekanik) dan S.Jayakumar, 33, (kelindan lori) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norsalihah Sulaiman.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 7.17 malam di tapak pemancar pencawang tangki air Sains Nilai, Spring Villa Desa Casia di Nilai pada 17 April lalu.
Sehubungan itu, enam tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya P.Rubini menawarkan jaminan sebanyak RM 5,000 kepada setiap tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap kesemua tertuduh dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan 4 Jun depan.