SEREMBAN : Rakyat boleh bersama dalam menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan seperti mana warna pada bendera Negeri Sembilan.
Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi), Muhamad Kamel Yassin berkata, bendera Negeri Sembilan mempunyai tiga warna iaitu warna kuning merujuk kepada raja, warna merah rakyat manakala warna hitam adalah Undang .
“Kalau rakyat tidak bersama dalam menyelesaikan masalah ini, seolah-olah kita mengoyakkan bendera (Negeri Sembilan) dengan membuang warna merah. Ini menunjukkan kita sudah tidak satu hati.
“Gabungan ketiga-tiga elemen tersebut amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara tanpa campur tangan pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tegas beliau, kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah perkara utama dan tidak boleh dipertikaikan dalam apa jua keadaan.
“Yang penting Tuanku mesti dikekalkan, itu prinsip kami sebagai rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu lima badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Profans, Pertubuhan Sejarah dan Adat Perpatih Daerah Kuala Pilah, Pertubuhan Adab dan Budaya Mertang, Persatuan Kebajikan Insan dan Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis berkumpul di Istana Hinggap pada pukul 11.15 pagi tadi.
Kumpulan itu menyerahkan memorandum menjunjung taat setia dan mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar serta adat perpatih Negeri Sembilan.
Memorandum itu diserahkan oleh wakil NGO Muhamad Kamel kepada Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali.
Dalam pada itu, Muhamad Kamel yang juga cicit kepada pahlawan, Datuk Siamang Gagap berharap kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera tanpa diputarbelitkan demi kepentingan pihak tertentu.
Mengimbau sejarah, beliau turut mengaitkan sejarah penyatuan orang Melayu yang dipelopori Siamang Gagap sebagai inspirasi dalam menghadapi situasi semasa.
Beliau berkata, isu yang timbul disifatkan sebagai kecil sekiranya semua pihak mengambil pendekatan berhemah dan rakyat akan terus berdiri teguh di belakang Tuanku Muhriz demi memastikan kedaulatan adat dan intitusi diraja terus terpelihara.
habis