1
1
SEREMBAN: Sebanyak 188 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sejak tahun lalu sehingga April tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, kebiasaannya kesalahan yang dilakukan adalah tiada cukai jalan dan insurans.
“Sepanjang 2025 pihak kami menyita 143 pelbagai jenis kenderaan mewah menerusi Ops Khas Pengarah. Manakala bagi tahun ini sehingga April lalu sebanyak 45 kenderaan mewah disita.
“Antara pencapaian menonjol Ops Khas Pengarah adalah tindakan tegas ke atas kenderaan mewah yang didapati melanggar undang-undang jalan raya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas beliau, antara kenderaan yang disita pada tahun lalu adalah Porche (7), Audi (11), Toyota Alphard dan Vellfire (21), Mercedes Benz (30), BMW (35) serta lain-lain kenderaan (39).
“Kenderaan mewah yang disita bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula membabitkan Porche (3), Audi (4), Toyota Alphare dan Vellfire (3), Mercedes Benz (15), BMW (12) serta lain-lain kenderaan (8),” katanya.
Tambahnya, kebiasaannya pemilik yang kenderaan mewah yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti usahawan, ahli perniagaan dan golongan profesional.
“Dalam satu kes kereta mewah yang disita, pemiliknya seorang lelaki bergelar ‘datuk’ berusia lewat 40-an. Kesalahan yang selalu dikesan adalah cukai jalan dan insuran tamat tempoh.
“Kereta jenama Porche juga kami pernah sita kerana kesalahan cukai jalan dan insurans tamat tempoh, itu yang buat kami tidak faham.
“Dapat beli kereta jenama Porche, tetapi tiada cukai jalan dan insuran. Itu mengelirukan kami,” katanya.
Gambar hiasan janaan Ai