SEREMBAN: Tular satu rakaman CCTV kejadian pecah rumah di kawasan perumahan di S2 Height, di sini, dipercayai berlaku pada awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, difahamkan tiga banglo di kawasan sama dipecah masuk dipercayai dilakukan suspek sama.
Jelasnya, dua pemilik rumah mengalami kerugian mencecah RM140,000 apabila enam beg berjenama dan wang tunai dilarikan suspek yang bertopeng.
“Polis menerima tiga laporan polis mengenai kes ceroboh dan pecah rumah pada malam hari di sebuah taman perumahan di S2 Height membabitkan tiga rumah jenis banglo tiga tingkat.
“Bagaimanapun, hanya dua rumah yang dikatakan berlaku kehilangan barang, manakala sebuah rumah lagi, hanya diceroboh sahaja.
“Siasatan dijalankan, mendapati mangsa mengalami kerugian enam beg tangan jenama Louis Vuitton yang dianggarkan bernilai RM140,000.00,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek adalah seorang lelaki tidak dikenalpasti berpakaian ‘hoodie’ gelap berlengan panjang.
“Suspek berkenaan bertopi dan memakai pelitup muka serta bersarung tangan dikatakan masuk ke dalam rumah mangsa antara jam 1.20 pagi hingga 3.37 pagi,” katanya.
Ujarnya, suspek dipercayai masuk ke rumah dengan memanjat tembok dari luar berdekatan belukar belakang dan memasuki dua rumah melalui pintu gelangsar.
“Manakala sebuah rumah lagi dimasuki melalui tingkap hadapan yang diumpil. Kesemua rumah berpenghuni dan sedang tidur ketika kejadian,” katanya.
Tambah beliau, sehingga kini pihak sedang menjalankan siasatan dan memburu suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh salurkan terus ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban di talian 06-6033222,” katanya.
video/gambar ihsan pembaca