Ibu alami tekanan perasaan bagi bayi racun rumput  

PORT DICKSON : Seorang wanita yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak memberikan racun rumput kepada bayi perempuannya yang berusia setahun di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Telok Kemang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul pukul 9 malam itu, wanita warga Myanmar berusia 21 tahun tersebut dipercayai terlebih dahulu meminum racun rumput jenis “Protocol” itu sebelum memberikan pula kepada anaknya.

Menurut Maslan, pihak polis menerima maklumat daripada Hospital Port Dickson memaklumkan telah menerima kemasukan dua pesakit seorang wanita dan bayi akibat minum racun.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan masih dirawat di wad Hospital Port Dickson untuk pemantauan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Maslan berkata, seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun yang  merupakan suami wanita itu yang juga bapa kepada bayi berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *