REMBAU: Umpama babak dalam movie apabila seorang wanita warga emas melarikan diri daripada polis sejauh kira-kira 50 km dari Rembau sehingga ke Melaka, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, wanita berkenaan yang juga pesara polis berjaya ditahan di Bukit Beruang, Melaka selepas dikejar dan dikepung beberapa kenderaan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, hasil pemeriksaan menemui empat pil disyaki ekstasi di dalam kenderaan dipandu wanita berusia 65 tahun itu.
“Ketika anggota MPV kami sedang menjalankan tugas ronda pada jam 10.30 malam, mereka terima arahan supaya ke Taman Sedia Raja, di sini, kerana sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam dikatakan melanggar kenderaan lain dan melarikan diri.
“MPV kemudiannya terserempak dengan kereta itu lalu cuba memberhentikannya, namun suspek enggan memberi kerjasama dan melarikan diri ke arah Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, dengan kerjasama anggota ronda Balai Polis Kota, anggota MPV Alor Gajah serta anggota MPV Melaka Tengah akhirnya kenderaan suspek berjaya ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka.
“Pemeriksaan di tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah.
“Seterusnya dengan disaksikan suspek, polis menjalankan pemeriksaan di dalam keretanya dan menjumpai satu beg yang mengandungi sepaket plastik lutsinar berisi empat pil disyaki dadah jenis ekstasi.
“Hasil ujian urin mendapati wanita ini positif dadah jenis amphetamine,” katanya.
Jelas Azmi lagi, seterusnya pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya membabitkan kereta suspek dengan van jenis Toyota Hiace dan kereta jenis perodua Viva di daerah Rembau.
“Tiada sebarang kecederaan dialami kedua- dua pengadu dalam kemalangan itu,” katanya.

Tambahnya, suspek kini berada di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah dan permohonan reman suspek dilakukan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka pada hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta D4d4h Berbahaya 1952 dan Rule LN 166/59,” katanya.
Gambar ihsan PDRM