KUALA PILAH: Pemandu kereta jenis Honda City yang dirakam memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan lain didapati positif dadah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu menyebabkan pemandu Honda City berkenaan patah tangan.
Jelas beliau, setibanya di lokasi kejadian, pemandu Honda City didapati memandu secara berbahaya sehingga melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.
“Pemandu berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya, sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh.
“Akibat pelanggaran itu, Honda City berkenaan berpusing dan melintang di tengah jalan.
“Pada masa yang sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora, SUV jenis Honda CRV dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang melalui laluan berkenaan kemudiannya tidak sempat mengelak lalu melanggar Honda City.
“Pemandu Honda City mengalami kecederaan patah pada bahagian tangan kanan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa lain yang terbabit kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di Hospital Kuala Pilah mendapati pemandu Honda City positif dadah jenis methamphetamine.
“Hasil pemeriksaan kenderaan menjumpai satu paket plastik mengandungi serbuk putih lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin,” katanya.
Gambar/video ihsan pembaca