KUALA PILAH: Suasana hiba menyelubungi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) apabila warga hospital menzahirkan penghormatan terakhir menerusi ‘Walk of Honor’ kepada jenazah penderma organ, Mohammad Syazwan Mahadi, 28.
Mohammad Syazwan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah, kira-kira pukul 2.06 petang kelmarin.
HTAN menerusi laman Facebook mereka memaklumkan, kebenaran keluarga Imam Muda Masjid Bandar Baharu Serting, Jempol itu membuka peluang kepada pesakit lain untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Di sebalik kehilangan yang menyayat hati, keizinan keluarga untuk mendermakan organ Allahyarham membuka sinar harapan kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Daripada sebuah kehilangan, hadir harapan baharu. Semoga segala kebaikan Allahyarham menjadi amal yang berpanjangan dan keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham mendermakan tisu, tulang, mata atau mana-mana organ yang bersesuaian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 56 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan kereta itu.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan sehingga mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bagaimanapun, pemandu kereta Honda Civic tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.
Gambar ihsan pembaca