SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memandang serius dakwaan pembabitan murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, di sini dalam penyajian minuman beralkohol.
JPNS dalam satu kenyataan berkata, kejadian didakwa berlaku pada Majlis Makan Malam Persatuan Bekas Murid St Paul (OPA) yang berlangsung di Regent Hall, di sini pada 5 September lalu.
“JPNS menegaskan bahawa murid sekolah tidak sepatutnya dibabitkan dalam aktiviti mengendalikan atau menghidangkan minuman beralkohol.
“Kebajikan, keselamatan dan maruah murid mesti sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira pihak yang menganjurkan sesuatu program,” katanya kenyataan itu.
Tambahnya, berdasarkan maklumat awal, majlis itu dianjurkan persatuan alumni di luar kawasan sekolah.
“Pihak sekolah dan persatuan alumni menafikan dakwaan bahawa murid terbabit dalam penyajian minuman beralkohol.
“Bagaimanapun, JPNS sedang meneliti semua keterangan termasuk pembabitan murid dalam majlis berkenaan bagi memastikan fakta sebenar dapat dikenal pasti,” katanya.

Jelasnya, siasatan terhadap aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sedang dimuktamadkan, termasuk penelitian terhadap pematuhan prosedur oleh pihak sekolah.
“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan atau kecuaian dalam pelaksanaan tanggungjawab, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.
“JPNS akan memastikan setiap dapatan siasatan diteliti secara menyeluruh dan tindakan susulan dilaksanakan demi melindungi kepentingan murid,” katanya.
Sebelum ini aktivis politik Chegubard mendakwa seramai 25 pengawas sekolah diminta oleh pengetua untuk hadir ke majlis itu dan menghidang arak.
Menurut Chegubard, bantahan sudah dibuat ketika raptai dan taklimat bukan sahaja oleh guru beragama Islam tetapi majoriti guru bukan termasuk menghantar aduan ke SISPA tetapi ia tetap diteruskan dan tiada tindakan.
Katanya, Anthony Loke Siew Fook antara pelajar tua Sekolah St Paul selain beberapa pemimpin DAP Negeri Sembilan hadir pada majlis itu.
Gambar ihsan pembaca