PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan diseru mengambil langkah lebih tegas dan sistematik bagi melindungi kawasan pendaratan penyu di Tanjung Gemok dengan mewujudkan sebuah zon perlindungan khusus di pantai peranginan berkenaan.
Seruan itu disuarakan Aktivis Pemuliharaan Marin Malaysia, Noor Fadzli Shah, yang menegaskan bahawa kewujudan penyu yang mendarat di Port Dickson merupakan satu petunjuk jelas kawasan pesisir itu mempunyai nilai biodiversiti yang tinggi.
Beliau berkata, agenda pemuliharaan khazanah marin itu tidak harus diletakkan di bawah tanggungjawab satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri.
“Kita tidak boleh hanya bertindak selepas telur penyu hilang atau dicuri. Kita perlu mempunyai sistem pencegahan yang jelas termasuk mengenal pasti kawasan, melindungi sarang dan melakukan rondaan berkala.
“Jangan tunggu sehingga penyu semakin berkurangan atau sarang semakin banyak hilang sebelum kita bertindak kerana pemuliharaan yang berkesan adalah tindakan sebelum masalah menjadi lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bagi merealisasikan usaha itu, Noor Fadzli menggariskan lima langkah segera termasuk keperluan melaksanakan rondaan malam bersepadu serta mewujudkan sistem tindak balas pantas (rapid response) bagi setiap sarang yang ditemui.
Turut dicadangkan adalah pewujudan saluran laporan komuniti, pembinaan pangkalan data penyu Tanjung Gemok secara konsisten, serta penglibatan aktif agensi penguatkuasaan bersama penduduk setempat, nelayan dan pengusaha hotel.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar kawasan tersebut berwajah baharu menerusi konsep ‘Tanjung Gemok Turtle Conservation & Education Beach’ bagi menggabungkan elemen pemuliharaan dengan ekopelancongan bertanggungjawab.
Pendekatan itu bukan sahaja mampu mengangkat penyu sebagai identiti biodiversiti Port Dickson, malah memberi peluang kepada masyarakat awam dan pelancong memahami kepentingan ekosistem marin secara lebih dekat.
Bagaimanapun, Noor Fadzli menegaskan aspek penguatkuasaan undang-undang di bawah agensi yang mempunyai bidang kuasa sedia ada tetap menjadi tunjang utama dalam membanteras sebarang aktiviti pengambilan telur penyu secara haram.
Beliau berharap Kerajaan Negeri Sembilan dapat menilai cadangan berkenaan demi memperkukuh kelestarian alam semula jadi sekali gus memastikan kelangsungan hidupan marin itu dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Gambar hiasan janaan AI