
SEREMBAN : Tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berdepan halangan awal apabila Kerajaan Negeri mempertikaikan kaedah pemfailan saman berkenaan.
Bantahan itu dibangkitkan pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Seremban yang berlangsung menerusi sidang video aplikasi Zoom pada pukul 4.40 petang tadi.
Mahkamah menetapkan 16 November ini sebagai tarikh pendengaran permohonan bantahan awal yang dibangkitkan Kerajaan Negeri selaku defendan kedua.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain itu, peguam yang mewakili Kerajaan Negeri, Razlan Hadri Zulkifli berhujah bahawa tindakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui saman pemula, sebaliknya menerusi semakan kehakiman.
Bantahan itu turut disokong Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan selaku defendan pertama serta pihak pencelah yang dicadangkan, Raja Norazli Raja Nordin dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan.
Mahkamah kemudian mengarahkan defendan kedua memfailkan permohonan bantahan awal berkenaan dengan pendengarannya ditetapkan pada pukul 9 pagi, 16 November ini menerusi sidang video Zoom.
Sementara itu, satu lagi pendengaran berhubung permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan untuk mencelah dalam saman pemula berkenaan ditetapkan pada pukul 9 pagi, 2 November ini, juga menerusi Zoom.
Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan bahawa pihak plaintif yang diwakili peguam, Mohd. Hafarizam Harun telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan rujukan berhubung persoalan tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Perkara 34(2).
Prosiding itu turut dihadiri peguam, Datuk Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal mewakili Kerajaan Negeri.
Peguam Steven Thiru pula mewakili pihak pencelah, Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan.
Saman pemula itu difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan.
Seramai 10 ADUN dinamakan sebagai pemohon iaitu Datuk Mohd. Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd. Asna Amin, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa pembatalan pelantikan sebagai Exco yang diwartakan pada 24 September lalu adalah batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.
Antara persoalan utama yang dibangkitkan ialah sama ada pelantikan anggota Exco, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.
Pemohon turut memohon mahkamah menentukan tafsiran Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) yang dibaca bersama peruntukan berkaitan, termasuk tatacara pembatalan pelantikan anggota Exco.
Bagaimanapun, tuntutan berkenaan masih belum diputuskan mahkamah, manakala permohonan bantahan awal Kerajaan Negeri akan didengar pada 16 November ini.