SEREMBAN: Sebanyak 1,244 kenderaan yang digunakan warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sejak Januari tahun lalu menerusi Ops PeWa.
Pengarahnya, Jasyindar Singh Sidhu berkata, berdasarkan rekod pihaknya, sebanyak 4,811 buah kenderaan telah diperiksa menerusi penguatkuasaan berkaitan PeWA sepanjang tahun 2025.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 746 buah kenderaan telah diambil tindakan.
Sebanyak 3,287 Notis JPJ(P)22 telah dikeluarkan, manakala 301 notis di bawah Seksyen 64(1)direkodkan.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober 2026 pula, sebanyak 3,741 buah kenderaan telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 498 buah kenderaan telah diambil tindakan. Sebanyak
2,422 Notis JPJ(P)22 telah dikeluarkan, manakala 288 notis di bawah Seksyen 64(1)
direkodkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Jelas beliau, derdasarkan perincian statistik pesalah warga asing mengikut kategori kenderaan bagi tahun 2025, sejumlah 374 kes melibatkan kategori motosikal, 205 kes kereta, 121 kes kenderaan perkhidmatan awam dan 46 kes kenderaan perdagangan telah direkodkan.
“Bagi tempoh Januari hingga 11 Oktober 2026, jumlah yang direkodkan ialah 313 kes bagi kategori motosikal, 149 kes kereta dan 36 kes bagi kenderaan perdagangan.
“Perincian ini membantu JPJ Negeri Sembilan mengenal pasti kategori kenderaan yang memerlukan perhatian dalam perancangan operasi dan pemeriksaan seterusnya.

“Dari segi kewarganegaraan, rekod turut merangkumi warganegara Indonesia, Thailand, Myanmar, India, Bangladesh, Pakistan serta lain-lain negara,” katanya.