
SEREMBAN : Sebuah resort terbiar di Broga, Mantin yang tidak berpenghuni sejak empat tahun lalu dipercayai dijadikan markas sindiket penipuan dalam talian warga China selepas premis itu disewa dengan bayaran RM20,000 sebulan sejak setahun lalu.
Kegiatan sindiket yang dipercayai menyamar sebagai pendakwa raya dan anggota polis China itu terbongkar selepas polis menahan 44 individu dalam serbuan di resort berkenaan pada 11 Oktober lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sindiket itu dipercayai menyewa satu daripada empat blok di resort berkenaan bagi menjalankan kegiatan penipuan menerusi aplikasi Microsoft Teams.
Menurut Alzafny, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan memilih resort di atas tanah persendirian itu sebagai markas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai pendakwa raya dan anggota polis China dengan menyasarkan mangsa warga China termasuk yang menetap di Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau, sindiket berkenaan dipercayai memperdaya mangsa dengan mendakwa mereka terbabit dalam kegiatan jenayah sebelum menawarkan bantuan bagi mengelakkan mangsa daripada ditangkap.
Alzafny berkata, hasil risikan polis membawa kepada serbuan di resort berkenaan yang menyaksikan 44 suspek berusia antara 19 hingga 63 tahun ditahan.
Turut ditahan ialah pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai pengurus atau penyelenggara resort berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, 34 individu merupakan warganegara China, seorang Taiwan dan tiga Myanmar termasuk empat wanita,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati 20 daripada 38 tangkapan yang diperiksa tidak mempunyai pasport fizikal, manakala polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti status keberadaan mereka di negara ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 82 telefon bimbit, tiga komputer riba, lima penghala rangkaian (router), empat tripod dan wang tunai RM5,000.
Dokumen perjanjian sewaan atas nama seorang lelaki tempatan turut dirampas bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Alzafny berkata, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai kemudahan asas di resort itu, termasuk bekalan elektrik dan air, manakala makanan dihantar oleh ejen ke markas berkenaan.
Beliau berkata, kesemua 40 suspek direman selama empat hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.