
JIKA selama ini Alphard dan Vellfire dianggap sebagai kereta ‘bos’ yang praktikal bagi golongan profesional, Denza D9 pula datang dengan satu persoalan mengapa tidak kenderaan elektrik (EV).
Persoalan itu mula terjawab apabila penulis diberi peluang memandu uji MPV elektrik premium Denza D9 dari pejabat Denza di Bandar Sunway, Selangor, menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.
Perjalanan kali ini bukan sekadar menguji sejauh mana D9 mampu membawa penumpang, tetapi turut memberi peluang untuk merasai sendiri tahap keselesaan sebuah MPV yang mahu mencabar segmen premium.
Pada peringkat awal perjalanan, penulis mengambil tempat di barisan kedua sebagai penumpang, pekara paling ketara dirasai ialah kadar kesenyapan kabin (NVH).
Bunyi angin dan tayar hampir tidak kedengaran, malah ketika D9 dipandu pada kelajuan tinggi di lebuh raya, suasana dalam kabin kekal tenang.
Bagi sebuah MPV mewah, keupayaan NVH yang baik seperti ini sememangnya penting, terutama untuk penumpang yang mahu berehat sepanjang perjalanan.
Barisan kedua pula boleh dianggap sebagai kawasan atau sudut ‘bos’, sebaik pintu gelangsar elektrik dibuka, penumpang akan disambut dua kerusi jenis ‘captain seat’ yang cukup lengkap.
Tempat duduk berkenaan menawarkan fungsi pemanas dan pengudaraan, urutan 10 titik, perehat kepala dan kaki serta tetapan zero-gravity yang membolehkan penumpang mendapatkan posisi lebih santai ketika perjalanan jauh.
Jika mahu bekerja dari dalam kabin juga tiada masalah, terdapat meja boleh lipat.
Manakala ruang simpanan minuman sejuk dengan suhu boleh dilaras antara -6 hingga 50 darjah Celsius menambahkan lagi praktikaliti. MPV ini.
Kemasan upholsteri Nappa pula memberikan sentuhan premium yang sepadan dengan karakter D9 sebagai MPV mewah.
Seterusnya, karakter D9 mula menunjukkan sisi yang berbeza apanila penulis mula mengambil tempat di belakang stereng sebagai pemandu.
Walaupun dimensinya besar, penulis tidak berdepan masalah untuk mengendalikan MPV ini.
Sudut pandang keluar yang luas, stereng yang memberikan rasa kawalan dan sistem kamera sekeliling dengan paparan jelas banyak membantu ketika melalui kawasan bandar mahu pun lebuh raya.
Lebih menarik, penulis tidak mengalami apa yang sering menjadi kebimbangan pengguna EV ketika melakukan perjalanan jauh iaitu ‘range anxiety’.
Sepanjang perjalanan menuju Seremban, tahap bateri dan keupayaan pengecasan D9 memberikan keyakinan untuk meneruskan perjalanan tanpa perlu sentiasa mencari stesen pengecasan terdekat.
Bagaimanapun, penggunaan tenaga tetap bergantung kepada gaya pemanduan.
Dengan gaya pemanduan yang agak agresif, termasuk perjalanan di lorong kanan lebuh raya, penggunaan yang direkodkan berada antara 22.8 hingga 26.7 kWh/100 km.
Angka tersebut boleh dianggap munasabah apabila mengambil kira saiz, berat dan konfigurasi dwimotor D9 yang dipandu uji.
D9 AWD menghasilkan sehingga 369 hp dan 470 Nm, manakala pecutan dari pegun hingga 100 km/j hanya mengambil sekitar 6.9 saat.
Dengan kawalan pendikit yang minimum, D9 sudah cukup mudah mencapai kelajuan yang diperlukan.
Lebih penting, pemanduan yang lancar dapat memastikan ‘bos’ di belakang tidak terganggu dengan pecutan atau membrek secara mendadak.
Satu lagi perkara yang membantu ialah sistem suspensi adaptif DiSus-C.
Sistem ini memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan badan D9 dan pada masa sama menyembunyikan sebahagian karakter sebuah MPV yang besar dan berat.
Sepanjang pandu uji, penulis lebih gemar menggunakan mod Sport ketika membawa penumpang di belakang. Walaupun kedengaran bertentangan dengan konsep keselesaan, tetapan itu membantu mengurangkan olengan badan yang lebih ketara ketika menggunakan mod Comfort.
Dari segi reka bentuk luaran pula, D9 sememangnya mempunyai aura tersendiri.
Jeriji dengan kemasan krom, rim 18 inci berbilang jejari serta grafik DRL LED yang memanjang ke bawah menjadikan MPV ini mudah dikenali di atas jalan.
Secara keseluruhan, reka bentuk D9 berjaya memberikan imej sebuah MPV premium tanpa terlalu bergantung kepada rupa yang agresif.
Masuk ke ruangan kabin, Denza masih mengekalkan beberapa butang fizikal walaupun D9 merupakan sebuah EV.
Pada konsol tengah, beberapa suis penting boleh digunakan untuk mengawal pintu gelangsar, mod pemanduan dan fungsi tertentu termasuk peti sejuk untuk penumpang belakang.
Tombol gear yang besar pula memberikan rasa premium, cuma kedudukan butang P serta Start/Stop memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri.
Dari aspek pengecasan, D9 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW.
Pek bateri LFP berkapasiti besar itu boleh dicas daripada 30 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 30 minit.
Denza D9 ditawarkan dalam dua pilihan di Malaysia, iaitu FWD dengan output 309 hp dan 360 Nm serta jarak gerak sehingga sekitar 520 km WLTP, manakala versi AWD yang dipandu uji menawarkan sekitar 480 km WLTP.
Selepas beberapa jam berada di atas jalan, perjalanan akhirnya membawa kami ke Seremban dan pengalaman bersama D9 diteruskan dengan satu lagi elemen menarik iaitu penginapan di Hotel Royale Chulan Seremban.
Selepas perjalanan jauh, hotel itu menjadi lokasi sesuai untuk berehat dengan kemudahan seperti bilik yang selesa, kolam renang dan gimnasium.
Lebih menarik buat pemilik EV, kemudahan stesen pengecasan yang tersedia di hotel memberikan nilai tambah kerana kenderaan boleh dicas ketika pemilik berehat.
Di sinilah penulis melihat kelebihan sebenar konsep D9, iabukan sekadar sebuah MPV yang membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain, tetapi sebuah ruang bergerak yang cuba memberikan pengalaman perjalanan lebih tenang, selesa dan mewah.
Dengan harga bermula sekitar RM259,000 manakala varian Premium AWD ditawarkan sekitar RM309,000, D9 hadir sebagai alternatif kepada mereka yang mahukan kemewahan MPV premium tetapi dalam pakej elektrik.
Bagi penulis, D9 mungkin belum membuatkan nama Alphard dan Vellfire hilang daripada radar, tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan segmen MPV premium lebih menarik, terutama apabila ‘kereta bos’ kini boleh bergerak dengan kuasa elektrik.



