PANDU UJI: Honda Stepwgn generasi terkini jadi masuk Malaysia?

PADA tahun 2022 dalam usaha memperkukuh kehadiran dalam segmen MPV keluarga moden, Honda Motor Co., Ltd. tampil dengan generasi terbaharu Honda Stepwgn RP6, yang hadir dengan gabungan reka bentuk minimalis, teknologi pintar serta praktikaliti maksimum untuk kegunaan harian.

Model generasi keenam ini menampilkan identiti baharu yang lebih bersih dan elegan berbanding model terdahulu. Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril ringkas bersama lampu LED nipis, memberikan penampilan premium tanpa perlu elemen berlebihan selari dengan konsep “simple is best”.

Ketika dilancarkan di Jepun, model ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu, Air, Spada dan Spada Premium Line.

Dari sudut dimensi, Stepwgn RP6 masih mengekalkan rekaan berkotak yang menjadi kelebihan utama MPV ini, sekaligus menawarkan ruang kabin luas dan fleksibel. Pintu gelangsar berkembar memudahkan akses penumpang, terutama bagi keluarga dengan anak kecil.

Unit pandu uji kali ini merupakan sebuah kereta recond tahun 2023 ini merupakan varian tertinggi dalam kelasnya, Spada Premium Line.

Dari segi luaran tidak banyak perbezaan berbanding varian Spada kecuali lampu utama dan rim bersaiz 17 inci.

Masuk ke ruang dalaman, pendekatan minimalis diteruskan dengan susun atur papan pemuka yang kemas serta penggunaan material berkualiti tinggi. Skrin infotainmen bersaiz besar jenama Gathers bersaiz 11.4 inci digabungkan dengan sistem sambungan pintar, selain paparan digital untuk pemandu yang lebih moden.

Perbezaan bahagian dalaman pula, varian Premium Line ini menggunakan kemasan Suede di papan pemuka dan panel pintu termasuk di bahagian tengah tempat duduk.

Dari aspek enjin, Stepwgn RP6 Premium Line ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter VTEC turbo dengan transmisi CVT yang mampu mengahasilkan kuasa maksimum 150PS pada 5,500 rpm dan tork tertinggi 203Nm pada 1,600 hingga 5,000 rpm.

Sistem bantuan pemandu Honda SENSING turut menjadi kelengkapan standard, merangkumi fungsi seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dan bantuan kekal lorong.

Keselesaan penumpang turut diberi perhatian dengan konfigurasi tempat duduk fleksibel, ruang kaki luas serta sistem penyaman udara yang menyeluruh hingga ke barisan belakang.

Dari segi pemanduan, walaupun kapasiti enjin lebih kecil berbanding pesaing-pesaing tetapi kuasa yang dihasilkan cukup tidak mustahil semasa penulis melalui lebuhraya PLUS di Terowong Menora tidak terasa tercungap-cungap ketika memotong di situ.

Gear CVTnya juga lebih sedap dan tidak membosankan terutamanya ketika menggunakan paddle shifter di belakang stereng.

Penggunaan bahan api pula, sekitar 12.5 kilometer untuk seliter petrol. Sekadar makluman tangki bahan api MPV ini bersaiz 52 liter.

Secara keseluruhan, Honda Stepwgn RP6 Premium Line dilihat sebagai pilihan ideal bagi mereka yang mencari MPV moden dengan gabungan reka bentuk elegan, teknologi canggih serta praktikaliti tinggi untuk kegunaan keluarga. Persoalannya adakah Honda Malaysia akan memabawa masuk model ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *