SEREMBAN : Krisis takhta dan adat di Negeri Sembilan disifatkan telah selesai dan tidak seharusnya terus dipolemikkan sehingga menimbulkan kekeliruan, menggugat pentadbiran kerajaan negeri serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Perkara itu ditegaskan menerusi kenyataan bersama Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai serta Tunku Besar Tampin yang mendakwa urusan penurunan takhta dan pemilihan Yang di-Pertuan Besar telah disempurnakan mengikut adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Menurut kenyataan itu, Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat berdasarkan Perkara 10(2) UUTKNS 1959 sebelum diterima dan diputuskan untuk dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September 2026.
Pemakluman rasmi berhubung perkara itu turut disampaikan kepada Majlis Raja-Raja menerusi surat Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 21 September lalu.
Kenyataan bersama itu turut menyambut baik titah Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober lalu yang menyeru semua pihak terbabit dalam pertikaian takhta supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja.
“Segala urusan penurunan takhta dan pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus telah pun sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan menegaskan bahawa kedudukan takhta Yang di-Pertuan Besar merupakan prerogatif mutlak Undang Yang Empat sebagaimana diperuntukkan mengikut adat dan UUTKNS 1959.
Katanya, hak berkenaan turut dilindungi Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan pertikaian mengenai hak menaiki takhta sesebuah negeri hendaklah diputuskan oleh pihak berkuasa mengikut kaedah yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri berkenaan.
Bagi Negeri Sembilan, kenyataan itu menyatakan bahawa pihak berkuasa berkenaan ialah Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959.
“Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan serta jabatan dan agensinya ditegaskan tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara berkenaan dan perlu menghormati kedaulatan kerajaan negeri, keluhuran adat serta UUTKNS 1959.
“Pentadbiran kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan berkenaan dan melaksanakan kuasa selaras dengan Perkara 35 UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama mendakwa Tuanku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan selepas 15 September 2026, susulan keputusan MMKN pada tarikh berkenaan.
“Justeru, sebarang urusan membabitkan fungsi dan kuasa pemerintahan selepas tarikh itu hendaklah dirujuk kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan sebagai Raja Pemerintah yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan itu turut menyifatkan titah Tuanku Muhriz yang membatalkan perkenan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), termasuk pewartaan susulan mengenainya, sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Menurut kenyataan itu, ketika titah berkenaan dikeluarkan, Tuanku Muhriz didakwa bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tidak boleh menjalankan fungsi pemerintahan.
“Sehubungan itu, perkenan diberikan kepada Menteri Besar dan barisan Exco negeri untuk terus mengemudi pentadbiran kerajaan negeri,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut meminta Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri mematuhi arahan pentadbiran Menteri Besar serta ketetapan kerajaan negeri.
Menteri Besar juga diminta menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa takut terhadap tekanan mana-mana pihak, manakala pentadbiran kerajaan negeri ditegaskan perlu diteruskan seperti biasa.
“Tiada lagi keperluan untuk Menteri Besar menghadap Tuanku Muhriz bagi urusan pentadbiran kerajaan negeri kerana pendirian berhubung adat, UUTKNS 1959 dan kerajaan negeri dianggap jelas.
“Pada masa sama, seluruh rakyat Negeri Sembilan diseru supaya bertenang, menjaga tutur kata, tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” menurut kenyataan itu.