Golf GTI masih relevan?

MULA diperkenalkan lebih 40 tahun lalu Volkswagen Golf GTI sehingga kini masih menjadi buah mulut orang saat melihat kereta itu lalu dihadapan mereka. Adakah model hot hatch ini masih kekal sebagai penanda aras dalam segmennya?

Resipi penghasilan model ini yang menggabungkan prestasi, praktikaliti dan keseronokan pemanduan dalam satu pakej lengkap mungkin boleh dikatakan “menjadi”.

Bagi model 2025, GTI tampil dengan evolusi moden tanpa mengorbankan DNA asalnya. Ia masih mengekalkan identiti kejuruteraan Jerman dengan karakter pemanduan yang seimbang, sesuai untuk kegunaan harian mahupun pemanduan agresif.

Dari sudut prestasi, GTI 2025 dipacu enjin 2.0 TSI turbo yang menghasilkan 265PS dan 370Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi tujuh kelajuan DSG, membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam hanya 5.9 saat.

Sepanjang pandu uji model itu baru-baru ini, GTI memberikan keseimbangan yang jelas antara prestasi dan keselesaan. Kuasa disampaikan secara lancar dan responsif, manakala kestabilan pada kelajuan tinggi sangat meyakinkan. Tahap NVH juga rendah, menjadikan kabin senyap dan selesa walaupun dipandu laju.

Stereng progresif memberi kawalan yang tepat, sementara sistem Dynamic Chassis Control (DCC) membantu mengekalkan kestabilan ketika mengambil selekoh. Empat mod pemanduan — Eco, Comfort, Sport dan Individual — membolehkan pemandu menyesuaikan karakter kereta mengikut situasi.

Dari segi rekaan, GTI 2025 kekal dengan identiti klasik seperti gril honeycomb bersama jalur merah ikonik. Lampu LED IQ.Light yang lebih tajam menambah sentuhan moden, manakala rekaan bampar belakang dengan ekzos berkembar krom memberi aura sporty yang matang.

Ia turut dipadankan dengan rim aloi Richmond bersaiz 18 inci serta kaliper brek merah yang menyerlahkan karakter prestasi.

Ruang dalaman pula masih mengekalkan suasana premium dan sporty. Tempat duduk buket berlogo GTI menawarkan sokongan badan yang baik dan keselesaan untuk perjalanan jauh. Stereng berbalut kulit bersama paparan digital sepenuhnya menambahkan lagi rasa eksklusif.

Antara yang baharu, sistem infotainment 12.9 inci digandingkan dengan paparan pemandu digital 10 inci, lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta sistem audio Harman Kardon sembilan pembesar suara. Kehadiran Head-Up Display (HUD) pula memudahkan pemandu melihat maklumat penting tanpa mengalihkan pandangan dari jalan.

Dari aspek keselamatan, GTI dilengkapi teknologi IQ.Drive yang merangkumi ciri bantuan pemanduan pintar seperti brek automatik kecemasan, kawalan jarak adaptif dan amaran keselamatan aktif.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM242,990 hingga RM255,990, bergantung kepada spesifikasi dan pakej jaminan Volkswagen Assurance Package (VAP).

Kesimpulannya, Volkswagen Golf GTI 2025 bukan sekadar meneruskan legasi, tetapi berjaya menawarkan keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan teknologi menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mahukan kereta sporty untuk kegunaan harian di Malaysia. Bagi saya ya model hothatch ini masih kekal relevan sebagai Ikon!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *