PATI main sorok-sorok dengan Imigresen dalam kilang

NILAI: Usaha beberapa pendatang tanpa izin (PATI) yang cuba menyorok di celahan kotak dan tempat tersembunyi di kawasan kilang mereka bekerja tidak membuahkan hasil apabila mereka dicekup, semalam.

Seramai 77 PATI berjaya ditahan ketika serbuan Operasi Mahir yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di dua premis di kawasan perindustrian Nilai, di sini.

Pengarah JIMNS, Mohd Razip Yasin berkata, operasi yang disertai seramai 21 pegawai daripada JIMNS itu bermula jam 9.50 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengah hari.

“Seramai 326 warga asing diperiksa dalam operasi ini sebelum 77 PATI ditahan terdiri daripada 65 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak- kanak perempuan. Mereka berumur antara 17 hingga 50 tahun.

“PATI ini ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ujar beliau, PATI yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki warga Bangladesh, seorang wanita Indonesia, 29 warga Myanmar membabitkan 18 lelaki dan 10 wanita, seorang kanak- kanak perempuan dan dua lelaki Nepal serta enam lelaki warga India.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Sebanyak tiga borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan dan penjaga premis untuk hadir ke Pejabat JIMNS bagi membantu siasatan,” katanya.

Justeru beliau berkata, JIMNS menyeru orang ramai supaya tampil membuat laporan atau aduan bagi membantu usaha membanteras kebanjiran PATI di negara ini.

“Selain daripada mengambil tindakan terhadap PATI, JIMNS juga akan melaksanakan tindakan tegas terhadap mana- mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk melalui pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Gambar ihsan JIMNS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *