SEREMBAN : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim membuat laporan polis selepas mendakwa surat cara proklamasi yang dikaitkan dengan isu adat di negeri ini ditandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan atau duress.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri Sembilan turut menubuhkan Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah mencari penyelesaian terhadap isu adat yang berlaku secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
Ismail berkata, laporan polis berhubung perkara itu dibuat kira-kira pukul 6 petang bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Menurut beliau, penubuhan Jawatankuasa Pendamai pula antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang semalam.
“Pendekatan berkenaan diambil bagi mencari penyelesaian terhadap isu adat yang berlaku.
“Jawatankuasa Pendamai diwujudkan sebagai wadah mencari penyelesaian terhadap isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai dokumen surat cara proklamasi yang tular menerusi kenyataan media malam semalam, Ismail berkata, Kerajaan Negeri berpendirian dokumen berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Justeru, kerajaan negeri berpendirian surat cara itu tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
Menurutnya, perkara itu turut menyatakan keperluan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
Beliau turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.
Semalam, pembesar adat menunjukkan dokumen yang didakwa menjadi bukti Ismail menandatangani surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dokumen berkenaan ditunjukkan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yasin serta Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dalam satu sidang media tergempar di Galeri Tuanku Ja’afar.