Port ketum di Senawang diserbu

SEREMBAN: Sebuah rumah kedai di Taman Sri Mawar, Senawang, di sini, didapati dijadikan tempat penyimpanan ratusan botol air ketum dan gulungan daun ketum.

Ia ditemui hasil serbuan dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seremban kira-kira jam 11 malam kelmarin.

AADK Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki yang dipercayai penjaga premis berusia 35 tahun ditahan.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki ditahan di rumah kedai di Taman Sri Mawar. Turut ditemui bersama lelaki itu adalah 355 botol minuman ketum bersamaan 532.5 liter dengan anggaran nilai RM5,325.

“Selain itu, sebanyak 2,087 gulung atau 486 gram daun ketum dengan anggaran nilai RM10,435 ditemui di dalam premis berkenaan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM8,000 hingga RM15,000 di pasaran tempatan.

Jelasnya, suspek bersama barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Lelaki ini adalah peniaga air ketum dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif air ketum. Dia turut disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Ujarnya, operasi itu bertujuan mengesan serta menahan individu yang terbabit dalam penagihan dan penyalahgunaan dadah mahupun bahan terlarang bagi membolehkan mereka disalurkan untuk menjalankan rawatan serta pemulihan di bawah kendalian AADK.

Gambar dan video ihsan AADK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *