1
1
SEREMBAN: Masalah rempit di daerah Seremban antara isu yang diberikan keutamaan oleh Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman.
Beliau berkata, secara umumnya dia akan meneruskan dasar dan delegasi yang dijalankan oleh Ketua Polis Daerah Seremban sebelum ini, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim.
“Antara isu yang diberi keutamaan adalah masalah rempit. Saya dapati ada beberapa lokasi di daerah ini yang menjadi tumpuan anak muda untuk merempit antaranya di Lebuhraya Kajang- Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS).
“Bagaimanapun, setakat ini kami mendapati tiada masalah lumba haram yang terancang membabitkan pertaruhan wang atau menjadikan gadis sebagai habuan,” katanya ketika ditemui wartawan, hari ini.
Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban antara Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim dengan Mohd Yatim yang disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.

Mohd Yatim sebelum ini adalah Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menggantikan Azahar yang bersara wajib.
Beliau berkata, dengan pengalamannya di JSPT Bukit Aman, dia cuba untuk mengekang masalah berkenaan daripada terus berleluasa di daerah ini.
“Kami dapati mereka berkumpul dan bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi bahaya. Ibu bapa perlu pantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing.
“Kami juga akan melaksanakan advokasi dan turun ke sekolah, kilang dan sebagainya untuk memberi kesedaran kepada golongan muda ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yatim berkata, sebanyak 552 kes penipuan dilaporkan di daerah Seremban dalam tempoh Januari sehingga semalam dengan jumlah kerugian mencecah RM15.77 juta.

“Bagi tempoh Januari hingga 24 Mei tahun lalu, sebanyak 523 kes penipuan dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM29.72 juta, meningkat sebanyak 29 kes bagi tempoh sama pada tahun ini.
“Kes penipuan ini membabitkan semua kategori dan kaedah termasuk secara atas talian atau secara fizikal,” katanya.