Popular Posts

Warga emas diserang buaya ketika jala ikan

PORT DICKSON: Seorang lelaki warga emas parah selepas dikatakan diserang buaya ketika menjala ikan di kawasan jeti dekat Tanjung Agas, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun cedera pada beberapa bahagian badan dan kini dirawat di hospital.

“Kira-kira jam 8.30 pagi tadi, polis daerah Port Dickson menerima satu laporan berhubung kejadian seorang lelaki warga tempatan diserang buaya di sebuah kawasan jeti di Port Dickson.

“Mangsa berusia 62 tahun dipercayai keluar menjala ikan seorang diri di kawasan berkenaan pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika mangsa berada di tepi sungai sebelum diserang seekor buaya yang menerkam bahagian kaki kiri mangsa dan mengheretnya ke dalam sungai.

“Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada batu besar.

“Mangsa kemudian berjaya naik ke tebing dan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Alzafny berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk patah jari kaki kiri, patah buku lali kiri serta beberapa luka pada kedua-dua belah kaki.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan dan dijadualkan menjalani pembedahan. Kes dirujuk kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Justeru katanya, Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan sungai, muara atau lokasi yang dikenal pasti mempunyai habitat reptilia liar terutama pada waktu malam dan awal pagi.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *