SEREMBAN: Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin dijatuhi hukuman penjara empat bulan setelah didapati bersalah memfitnah
Yang di-Pertuan Agong pada dua tahun lalu oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Hakim Norma Ismail memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Badrul Hisham, 48, atau lebih dikenali sebagai Chegubard gagal menyangkal kes prima facie dikemukakan pihak pendakwaan.
Berdasarkan pendakwaan, Chegubard didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara pada pukul 6 petang, 22 Januari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Begitupun mahkamah membenarkan permohonan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard agar pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan kes itu diputuskan Mahkamah Tinggi.
Kadar wang jaminan tertuduh bagaimanapun telah dinaikkan kepada RM15,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.