1
1

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, bersetuju pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri bagi menyelesaikan krisis politik di Negeri Sembilan.
Langkah berkenaan sekurangnya dilihat dapat meredakan keadaan yang sedang berlaku, selain memastikan kerajaan negeri ditadbir dengan mandat lebih jelas.
“Sekurang-kurangnya ada satu mandat yang lebih jelas kerana sukar untuk ada lagi kepercayaan dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kerana mereka, iaitu ADUN UMNO-BN, telah pun menarik sokongan.
“Sekarang ini, apabila pilihan raya diadakan, kita akan bertanding antara satu sama lain dan rakyatlah yang akan membuat keputusan yang bakal membentuk kerajaan negeri,” katanya ketika sidang akhbar selepas program Hi-Tea meraikan 406 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Seremban, di sini petang hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang berpandangan membubarkan DUN Negeri Sembilan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku, sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat membuat keputusan siapa akan mentadbir negeri.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, walaupun UMNO-BN masih menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, namun perkara itu boleh mengundang risiko, termasuk kemungkinan kerajaan negeri digulingkan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tambahnya perkara itu perlu dielakkan kerana boleh menimbulkan pelbagai persepsi.
“Kita hanya ada sehingga Oktober untuk mengadakan sidang DUN dan dalam DUN, macam-macam boleh berlaku.
Justeru itu, kata Pengerusi DAP Negeri Sembilan, beliau telah melontarkan cadangan pembubaran terbabit kepada Perdana Menteri ketika Konvensyen PH di Johor Baharu minggu lalu, namun perkara itu terpulang kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, menentukan.
Beliau turut memaklumkan bahawa PH negeri terbabit telah siap sedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor yang berkemungkinan membubarkan DUN tidak lama lagi.
“Seperti saya katakan dalam Konvensyen PH di Johor minggu lepas, Negeri Sembilan juga siap sedia mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor.
Tambahnya, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka mengadakan Pilihan Raya Negeri serentak sudah tentu menjimatkan kos.
Mengulas sekiranya PH membuat keputusan untuk bertanding solo di Negeri Sembilan, beliau berkata, gabungan tersebut sudah mempunyai pengalaman mentadbir negeri itu secara bersendirian.
“Di Negeri Sembilan, sokongan terhadap Menteri Besar ditarik balik. Jadi, saya rasa Negeri Sembilan ini kalau berlaku pilihan raya, kita perlu bertanding antara satu sama lain,” katanya.

777=bju 8k>i