1
1
SEREMBAN: Enam motosikal jenis Yamaha RXZ lesap dalam kejadian curi di sebuah bengkel di Jalan Bandar Senawang 5, Taipan, di sini, awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, semua motosikal yang dianggarkan bernilai RM60,000 itu adalah milik pelanggan yang dihantar ke bengkel berkenaan.
“Pada jam 1 pagi pihak polis menerima makluman daripada pemilik bengkel mengatakan bengkelnya dipecah masuk di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati bengkel dipecah masuk dan terdapat beberapa kesan umpil pada bahagian ‘shutter’.
“Juga ada kesan pecah pada lantai bengkel serta terdapat kesan darah di beberapa kawasan di dalam bengkel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Jelas beliau, siasatan pihak polis juga mendapati sebanyak enam motosikal jenis Yamaha RXZ yang diletakkan di dalam bengkel dipercayai dicuri.
“Barang lain yang dikatakan dicuri adalah sebiji topi keledar jenama Shoei, sebiji topi keledar jenama MS 88 serta alat ganti motosikal.
“Kesemua motosikal yang hilang mempunyai kunci pada motosikal. Kejadian juga dipercayai berlaku ketika pemilik bengkel tiada dan bengkel ditinggalkan dalam keadaan berkunci,” katanya.
Ujarnya, kes dibuka mengikut Seksyen 457 dan 379a masing-masing Kanun Keseksaan.
“Antara nombor pendaftaran motosikal yang hilang adalah BRD 135, WVG 3923, JBS
1450, CSL 8555, NBQ 275 dan NAW 8927,” katanya.
Azahar berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau terjumpa motosikal berkenaan, diminta tampil dan bertindak kadar segera.
“Hubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Zawahir Zainuddin di talian 019 771 9434 atau 06 679 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Tegas beliau, pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap kewaspadaan serta mengambil langkah pencegahan seperti penggunaan kunci tambahan dan parkir di lokasi yang mempunyai ciri keselamatan bagi mengekang kes kecurian motosikal.
GAMBAR/ VIDEO KREDIT PEMBACA