KUALA LUMPUR : Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian semula kuota 300 liter petrol RON95 kepada pengamal media berdaftar seperti sebelum ini.
Presiden GKMM, Mohamad Fauzi Ishak berkata, keputusan kerajaan mengehadkan kuota BUDI RON95 kepada 200 liter sebulan ketika ini mula memberi cabaran besar buat pengamal media dalam menyempurnakan tugasan di lapangan.
“GKMM menerima banyak keluhan daripada pengamal media, khususnya yang bertugas di negeri, yang perlu menempuh jarak perjalanan jauh serta perlu berulang alik ke lokasi liputan setiap hari, menyebabkan kuota 200 liter habis lebih awal.
“Justeru, GKMM meminta supaya kerajaan dapat memberi pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar yang terdiri wartawan, jurugambar serta juruvideo untuk terus menerima kuota 300 liter RON95 seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Kelab Media Johor (KMJ), Kelab Media Putrajaya, Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Kelab Media Elit Kedah (KMEK) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).
Selain itu, Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS), Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dan Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP).
Turut menyokong gesaan itu, Sabah Journalist Association (SJA), Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA), Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) serta Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).
Menurut beliau, langkah mengembalikan semula kuota itu akan meringankan beban ditanggung pihak media terutama dalam mendepani situasi kenaikan kos yang cukup mencabar ketika ini.
Malah, katanya, GKMM memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan hingga kini ekoran ketegangan di Asia Barat.
“GKMM juga menyambut baik usaha dan komitmen kerajaan meneruskan subsidi bersasar kepada rakyat Malaysia terutama menerusi kuota 200 liter di bawah BUDI RON95, RM2.15 seliter bagi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, di samping BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.
“GKMM juga menyedari dengan peningkatan kos dan belanja subsidi bahan bakar yang ditanggung kerajaan bagi menjamin rakyat terus menikmati harga berpatutan atau lebih rendah, sungguhpun harga pasaran sudah meningkat begitu ketara dalam tempoh tersingkat ini,” katanya lagi.