Suami Azar Azmi mohon jaminan RM25,000 dikurangkan, ada masalah kesihatan

SEREMBAN : Suami kepada pelakon, Azar Azmi memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk mengurangkan wang jaminan sebanyak RM25,000 terhadapnya sebelum ini atas alasan memerlukan wang untuk menjalani rawatan kesihatan selain mengalami penyakit gout.

Tertuduh, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam ketika prosiding sebutan semula kes terhadapnya yang berdepan pertuduhan menipu dua mangsa bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan.

Mohd. Apri Hazreen kelihatan hadir ke mahkamah dengan sebelah kaki yang terhincut dan memberitahu dia baharu keluar dari hospital.

“Saya sebenarnya baharu keluar dari hospital, kalau boleh saya nak minta jaminan dikurangkan kerana perlu menggunakan duit untuk buat ekokardiogram dan angiogram.

“Saya dah tanya hospital, kos untuk prosedur tersebut antara RM9,000 ke RM10,000. Saya juga perlu duit untuk perbelanjaan anak-anak kerana tiada siapa yang tanggung,” katanya.

Tertuduh turut mengakui baharu menjalani pembedahan penyakit gout selain memohon tempoh untuk melantik peguam dan bersedia mengikut setiap syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon mahkamah mengekalkan jumlah jaminan tersebut kerana kes dilakukan merupakan jenayah komersial yang serius.

Nadia Ezzati berkata, sehingga kini tiada sebarang bukti dikemukakan oleh tertuduh berkenaan sakit atau rawatan yang diperlukan oleh tertuduh bagi menyokong alasan yang diberikan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM21,000 dengan syarat tambahan yang sama.

Pada 11 Mac lalu, media melaporkan suami kepada pelakon Azar Azmi itu didakwa atas pertuduhan didapati dengan curangnya telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara atas talian ke akaun bank milik seorang  wanita berusia 35 tahun.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 untuk urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud. 

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Dato’ Bandar Tunggal dan sebuah pejabat di Seremban 2 antara 2 April hingga 12 November 2025.

#nogoripost #azarazmi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *