SEREMBAN: Lelaki yang disyaki membakar dan al-Quran di tepi padang bola, Taman Bandar Senawang, di sini, 22 Ogos lalu ditahan polis di Chow Kit, Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek yang berusia 25 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, kira-kira jam 9.30 malam tadi, pihak polis menjalankan satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit, dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun.
“Pemeriksaan di dalam bilik yang didiami suspek menjumpai dua bagasi dan sebuah beg galas yang mengandungi keseluruhan 16 naskhah al-Quran.
“Pihak polis turut merampas tiga telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik suspek termasuk pakaian bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan baru dua bulan tamat menjalani perintah pengawasan polis,” katanya.
Alzafny berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua naskhah al-Quran yang ditemukan di dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin daripada masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit.
“Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah itu diambil daripada salah
sebuah universiti di utara tanah air berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan,” katanya.
Jelas beliau, pada hari yang sama, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan di rumah milik keluarga suspek di Senawang dan menemukan sebanyak 36 kulit al-Quran di dalam bilik tempat tinggal suspek.
“Kesemua kulit al-Quran berkenaan dirampas dan pihak polis percaya penemuan mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang bola, Taman Bandar Senawang pada 22 Ogos lalu,” katanya.
Justeru beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380/295 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban bagi permohonan tahanan reman untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Seremban di talian 06-6033222,” katanya.