SEREMBAN : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan perintah mengosongkan serta-merta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Roz Mawar Rozain dalam prosiding yang dijalankan secara sidang video menerusi aplikasi Zoom pada pukul 4 petang tadi.
Mahkamah turut memerintahkan Kerajaan Negeri Sembilan membayar kos berjumlah RM25,000 kepada dua responden, Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Dohak.
Turut dinamakan sebagai responden ialah semua penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Kes berkenaan membabitkan saman pemula yang difailkan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai pemohon terhadap Abdul Rahim, Mubarak serta semua penghuni dan individu yang menduduki kedua-dua premis berkenaan.
Menerusi permohonan itu, kerajaan negeri memohon perintah bahawa pihaknya selaku pemilik premis berhak mendapatkan milikan kosong Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Kerajaan negeri turut memohon deklarasi bahawa responden yang memasuki atau menduduki premis terbabit tanpa hak, lesen atau kebenaran adalah penceroboh dan tidak mempunyai hak untuk terus mendudukinya.
Selain itu, semua responden dimohon diarahkan mengosongkan serta menyerahkan milikan kosong kedua-dua premis kepada kerajaan negeri dengan serta-merta.
Bagaimanapun, selepas mendengar permohonan pihak-pihak terbabit, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan permohonan kerajaan negeri berkenaan ditolak.
Kerajaan Negeri Sembilan selaku pemohon diwakili peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff.
Abdul Rahim serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau pula diwakili peguam, Choo Shi Jin, manakala Mubarak serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Sungei Ujong diwakili peguam, Asmawi Ismail.