NILAI: Sebuah penempatan haram warga asing yang berada di kawasan tersorok di daerah ini diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan, malam tadi.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Mohd Razip Yasin berkata, seramai 17 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi yang bermula 9 malam di rumah kongsi itu.
“Operasi ini dijalankan ke atas tujuh lokasi di sekitar Seremban dan sebuah penempatan rumah kongsi yang terletak di Nilai bermula pada jam 9 malam tadi sehingga jam 3 pagi.
“Dalam operasi ini seramai 178 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 41 PATI yang berumur antara 18 hingga 58 tahun ditahan
atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau, jumlah yang ditahan adalah 33 lelaki dan lapan wanita dengan warga Myanmar paling ramai iaitu 14 lelaki dan empat wanita.
“Pecahan warganegara lain adalah dua lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang lelaki warga Pakistan, seorang wanita Vietnam, seorang wanita dari India dan lapan lelaki warga Bangladesh.
“Turut ditahan tujuh lelaki warga China, seorang perempuan warga Filipina dan seorang lelaki yang tidak mempunyai warganegara atau ‘stateless’,” katanya.

Jelas Mohd Razip, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 17 PATI adalah yang ditangkap di sebuah penempatan rumah kongsi yang terletak di Nilai.
Foto ihsan JIMNS