KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir di sini tengah hari tadi.
Turut berangkat bersama baginda ialah kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Lebih 500 jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Turut hadir ialah Undang Luak Sungei Ujong, Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid.
Selesai solat, Tuanku Muhriz berkenan menerima memorandum taat setia yang diserahkan Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Dr Mohd Aluwi Sari.
Memorandum itu menyatakan 10 pendirian sekretariat berkenaan dalam memastikan institusi Diraja, Perlembagaan dan Adat Perpatih terus dipertahankan, sekali gus memastikan keamanan serta keharmonian rakyat Negeri Sembilan.
Antara pendirian yang dinyatakan adalah mencadangkan kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU), bersama pihak berkuasa dan kerajaan negeri, supaya memberikan penjelasan kepada rakyat berdasarkan rekod rasmi mengenai perkara-perkara adat yang dipertikaikan.