TAMPIN: Seorang lelaki warga emas maut selepas dikatakan terhidu bau asap dalam kejadian kebakaran di rumah didiaminya di Taman Indah, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin mendapat makluman mengenai satu insiden kebakaran sebuah rumah itu pada jam 7.10 pagi.
“Siasatan di lokasi kejadian dijalankan pihak bomba dan polis yang mana kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat yang dihuni tiga warga tempatan.
“Kejadian dipercayai berlaku pada jam lebih kurang 6.15 pagi semasa kesemua penghuni
sedang tidur dan salah seorang penghuni terhidu bau asap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat daripada kebakaran tersebut, seorang lelaki warga tempatan berumur 63 tahun yang berada di bilik ruangan belakang telah disahkan meninggal dunia dipercayai gagal menyelamatkan diri manakala dua lagi penghuni berjaya menyelamatkan diri dari kebakaran tersebut.
“Hasil siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litas pintas dan tiada unsur jenayah.
“Hampir 30 peratus daripada rumah tersebut telah hangus terbakar. Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kebakaran tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Tampin ditalian 06-4412502 atau berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Tampin, Inspektor Nurul Afiqah Aqwa Haslan.
Siasatan dibuka di bawah Sudden Death Report (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Foto ihsan polis