SEREMBAN : Gara-gara menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami baharu wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp, seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Suhaimi Yusof, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut lima pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara tidak wajar dengan menghantar tiga keping gambar dan dua rakaman video berunsur lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Mantin, di sini pada 22 Mac 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima beberapa gambar dan rakaman video berunsur lucah daripada tertuduh yang merupakan bekas suami kepada isterinya.
Pengadu yang merupakan suami baharu wanita berkenaan berasa terkilan dan terganggu selepas menerima serta melihat kandungan tersebut yang memaparkan isterinya.
Ketika rayuan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia bertindak demikian kerana mendakwa dirinya telah ditipu oleh bekas isteri.
Bapa kepada empat anak itu turut memberitahu dia kini hidup dalam keadaan serba kekurangan termasuk tidur di dalam kereta dan masjid sejak dua bulan lalu selepas melarikan diri ke Kuala Lumpur.
“Tiga daripada empat anak masih bersekolah dan kini dijaga bekas isteri. Saya buat kesalahan ini sebab dah mati akal kerana ditipu bekas isteri,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Shahrul Rizal menasihati tertuduh supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.
“Akibatnya kamu sendiri yang kena tanggung. Nasihat saya selepas ini fikir dulu baik, buruk,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohamad Farhan Kamarudin.