Kuala Pilah: Seekor tapir mati selepas mengalami kecederaan parah akibat dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 24, Jalan Seremban- Kuala Pilah, berhampiran Balai Polis Terachi, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, haiwan itu disahkan mati kira-kira jam 6.30 pagi tadi ketika menerima rawatan.
“PERHILITAN menerima laporan daripada orang memaklumkan seekor tapir dikatakan dilanggar sebuah kenderaan di lokasi berkenaan.

“Daripada pemerhatian awal ia mengalami patah kaki hadapan sebelah kiri serta dipercayai mengalami kecederaan dalaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelas beliau, tapir jantan dengan anggaran seberat 250 kg itu sempat dipindahkan Pejabat PERHILITAN Daerah Jempol dan diberikan rawatan awal.
“Operasi menyelamat dilaksanakan kira-kira jam 12.3 tengah malam oleh pasukan PERHILITAN. Tapir dipindahkan ke Pejabat PERHILITAN Daerah Jempol untuk tindakan lanjut.
“Namun, tapir itu disahkan mati pada pagi ini dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan PERHILITAN,” katanya.

Gambar ihsan PERHILITAN