Ketua sindiket dadah pakar proses bahan kimia sejak 90-an ditembak mati

SEREMBAN : Seorang ketua sindiket pengedaran dadah negara yang dipercayai aktif sejak era 1990-an serta mempunyai kepakaran dalam memproses bahan kimia untuk menghasilkan dadah maut ditembak polis dalam serbuan di sebuah rumah teres di Garden Homes, Seremban 2, di sini semalam.

Dalam operasi dikenali sebagai ‘Op Thrips’ itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut berjaya menumpaskan sebuah sindiket pemprosesan dadah yang dipercayai membekalkan bahan terlarang untuk pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai rampasan keseluruhan RM27.6 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki berusia 52 tahun itu maut selepas bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan polis.

Menurutnya, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri sebelum suspek ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati rumah teres yang disewa suspek dijadikan sebagai makmal mini haram untuk memproses pelbagai jenis dadah.

“Polis merampas dadah jenis MDMA dalam bentuk cecair, pil dan serbuk dengan anggaran berat keseluruhan 182.39 kilogram selain sepucuk pistol jenis revolver,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek utama dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai makmal dadah sejak Januari lalu dengan memperoleh bahan ‘prekursor’ dari luar negara sebelum memprosesnya menggunakan pelbagai bahan kimia dan peralatan.

Katanya, antara peralatan yang digunakan termasuk ketuhar dan mesin pengadun bagi menghasilkan dadah jenis MDMA serta Methamphetamine.

Susulan serbuan pertama itu, Hussein berkata, polis menahan dua lagi ahli sindiket berkenaan dalam serbuan berasingan di Seremban 2 dan sebuah residensi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Dua suspek terbabit terdiri daripada seorang wanita berusia 32 tahun dan lelaki berusia 35 tahun.

“Modus operandi sindiket adalah menjadikan kawasan perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk rendah sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita masih mengesan ahli-ahli sindiket ini dan dipercayai terdapat individu yang telah melarikan diri ke luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama sindiket terbabit kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurut Hussein, hasil semakan mendapati suspek utama mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk satu kes dikehendaki bagi kes penculikan serta tiga kesalahan berkaitan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing pula mendapati dua suspek yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine dan ganja.

“Kedua-dua suspek itu juga masing-masing mempunyai 12 dan 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Honda Accord, Nissan Almera dan Honda City selain menyita pelbagai harta bernilai RM98,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan dadah maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, kira-kira pukul 1.50 petang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan seorang lelaki maut dalam kejadian berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *