SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengakhiri cabaran di Piala FA apabila tewas secara agregat 3-4 di tangan Kelantan City FC dalam aksi kedua Pusingan 16 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang tadi.
Meskipun mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas pasukan dari pantai timur itu, Skuad Jang terpaksa menerima kenyataan apabila gagal melangkah ke suku akhir Piala FA.
NSFC dilihat bermula garang pada babak pertama apabila menjaringkan dua gol sekali gus menyamakan kedudukan agregat 2-2 selepas tewas 0-2 kepada Kelantan City pada perlawanan di Kota Bharu sebelum ini.

Namun, Kelantan City merancakkan momentum perlawanan apabila bangkit pada babak kedua dengan menghasilkan dua gol sekali gus merencatkan perjalanan NSFC ke suku akhir.
NSFC membuka jaringan gol seawal minit kelima apabila Yusuke Minagawa menanduk bola ke gawang Kelantan City hasil lontaran Muhammad Hairiey Hakim Mamat.
Skuad kendalian Daniel Gimenez Alcaniz mendapatkan sepakan penalti apabila penjaga gawang Kelantan City, Mohammad Fikri Che Soh menjatuhkan Akhyar Rashid di dalam kotak penalti.
Tuan rumah berada di depan apabila Akhyar menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-36 sekali gus meletakkan NSFC dua gol di hadapan.
Bermula babak kedua, pelawat bangkit apabila Dandy Arbdallah menanduk masuk bola sepakan sudut pada minit ke-52.

Selang seminit, Muhammad Asraff Alifuddin Yasin yang membuat percubaan jauh kira-kira-kira 40 meter menewaskan penjaga gol NSFC, Muhammad Azri Ghani.
NSFC cuba bangkit sebelum mendapat gol saat akhir pada minit ke-89 menerusi tandukan pemain import, Park Yiyoung, namun masa tidak mengcukupi untuk mengikat pasukan Liga A1 itu.
Gambar ihsan media NSFC