NILAI: Rantai leher emas yang dipakai kanak-kanak berusia tiga tahun diragut ketika sedang bersiar-siar di sebuah festival makanan di N9 Arena, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, dalam kejadia kira-kira jam 9.30 malam itu, kejadian disedari ibu mangsa apabila kanak-kanak itu memaklumkan rantai berkenaan ditarik orang.
“Pada jam 10.28 malam tadi, pihak polis menerima satu laporan berhubung kejadian ragut rantai leher emas membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di kawasan sebuah festival makanan di N9 Arena.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika mangsa bersama ibu dan ahli keluarganya sedang berjalan di
kawasan festival yang sesak dengan pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, mangsa kemudiannya memaklumkan kepada ibunya bahawa seorang lelaki menarik sesuatu pada bahagian lehernya.
“Pemeriksaan mendapati rantai leher emas yang dipakai mangsa dikatakan hilang. Kerugian dianggarkan sebanyak RM2,900,” katanya.
Johari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang menjalankan risikan serta semakan rakaman CCTV di kawasan berhampiran
bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Daerah nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Gambar ihsan pembaca