SEREMBAN: Kerajaan negeri menerusi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan akan melaksanakan Inisiatif Pengecualian Bayaran Lesen Penjaja bagi membantu meringankan beban golongan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, melalui inisiatif itu, bayaran lesen perniagaan akan dikecualikan bagi permohonan lesen baharu serta pembaharuan lesen sedia ada, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.
“Pengecualian ini melibatkan pelbagai kategori penjaja, antaranya penjaja Pasar Tani, kereta tolak, berpayung, berjentera atau food truck, serta penjaja pasar dan bazar Ramadan.
“Bagaimanapun, pengecualian ini hanya melibatkan bayaran lesen perniagaan,” katanya pada sidang media sejurus Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hari ini.
Jelas beliau, bayaran lain yang berkaitan seperti fee pemprosesan, lesen patil, caj papan iklan, caj kebersihan dan sewaan tapak masih perlu dijelaskan mengikut kadar yang ditetapkan PBT masing-masing.
Ismail berkata, kerajaan negeri melihat inisiatif ini sebagai satu langkah keprihatinan untuk mengurangkan kos perniagaan yang ditanggung golongan penjaja dan peniaga kecil, khususnya melalui pengecualian bayaran lesen perniagaan.
“Pada masa sama, kemudahan ini hendaklah dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab.
“Peniaga hendaklah menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan perniagaan, tidak menghalang lalu lintas, tidak berniaga di persimpangan jalan atau di hadapan pili bomba, serta tidak menghalang kaki lima dan tangga.
“Pematuhan terhadap peraturan dan undang undang adalah diwajibkan, dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri mahu golongan penjaja dan peniaga kecil terus berkembang sebagai sebahagian daripada penggerak ekonomi negeri.
“Dengan sokongan kerajaan negeri serta kerjasama semua pihak, kita dapat mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih baik, bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan rakyat, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, dengan usaha yang konsisten dan kerjasama semua pihak, kita akan terus membina Negeri Sembilan yang stabil, maju dan makmur,” katanya.
Gambar ihsan Media Pejabat MB