SEREMBAN: Tiga individu masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menuntut dan bersubahat membuat tuntutan palsu insentif dana di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Tertuduh M S Gunaseelan, 45 dan isteri S Theen Malar, 45 serta A S Shisman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan terhadap Gunaseelan, tertuduh sebagai pemilik perniagaan didakwa telah membuat tuntutan palsu ke atas insentif Program Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikatnya.
Gunaseelan didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Theen Malar dan Shisman pula dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta 694 dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama kerana bersubahat melakukan tuntutan itu.
Perbuatan mereka itu dilakukan pada jam 9.07 malam di sebuah premis beralamat di Jalan Persiaran 1, Taman Senangin, dekat Lenggeng pada 11 Mac 2024.

Jika disabitkan, semua tertuduh boleh dipenjara 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syairah Aqilah Khalil menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 terhadap setiap tertuduh.
Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana tidak mampu membayar jumlah yang ditawarkan itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM12,000 terhadap Gunaseelan dan rakannya, Shisman manakala Theen Malar dibenarkan dijamin sebanyak RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan semua tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban setiap bulan dan tarikh sebutan semula pada 7 September depan.