SEREMBAN: Seorang penyelia tapak projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.9 juta membabitkan penipuan penjualan lot hartanah di Rembau, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Law Tuan Hai, 63, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.54 juta daripada akaun bank milik sebuah syarikat sebelum dengan curangnya memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk memindahkan wang berkenaan ke akaun semasa miliknya.
Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM338,000 daripada akaun simpanan seorang lelaki berusia 54 tahun.
Kesemua transaksi berjumlah hampir RM1.9 juta itu didakwa dilakukan selepas tertuduh memperdayakan kedua-dua mangsa untuk mempercayai bahawa dia ingin menjual satu lot hartanah di Mukim Kundor, Rembau, sedangkan dia bukan pemilik sah tanah berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol antara 5 hingga 11 Disember 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R. Azmi memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes sedia ada di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang.
Menurut beliau, permohonan itu dibuat kerana tertuduh telah didakwa di mahkamah sama semalam dan kedua-dua kes mempunyai kaitan rapat.
“Perbicaraan secara bersama adalah lebih efisien, menjimatkan masa mahkamah serta pihak-pihak yang terlibat, selain mangsa juga berada di Pulau Pinang,” katanya.
Peguam, Raqib Osman yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri dan mempunyai kekangan kewangan.
Beliau memaklumkan tertuduh yang bekerja sebagai penyelia tapak dengan pendapatan RM5,000 sebulan turut menghidap darah tinggi serta menanggung isteri, dua anak dan ibunya yang telah lanjut usia.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Mahkamah turut membenarkan permohonan untuk memindahkan empat pertuduhan berkenaan bagi dibicarakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Georgetown.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September depan bagi serahan dokumen.