Kredit Foto : FB Dato’ Ismail Lasim
KUALA PILAH : Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Ini sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan melakar sejarah apabila wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bergandingan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
ADUN BN yang mengangkat sumpah ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi),Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Siow Kong Choon (Chennah) dan Siti Nur Umairah Hasim (Labu).
Manakala dua wakil PN ialah ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd. Isa yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan serta ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah,
Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, ADUN Pakatan Harapan (PH) serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ahad lalu, Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 selepas BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan kemenangan majoriti 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos lalu.
BN memenangi 18 kerusi DUN, PN 11 kerusi, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
INFO SENARAI EXCO KERAJAAN NEGERI SEMBILAN
1. Datuk Ismail Lasim
– Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan
– Exco Kewangan, Tanah dan Sumber Asli
– Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan Felda
2. Datuk Mohd Faizal Ramli
– Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah
3. Datuk Zaifulbahri Idris
– Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan
4. Datuk Mustapha Nagoor
– Exxo Pembangunan Belia dan Sukan
5. Siow Kong Choon
– Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam
6. Siti Nur Umaira Hasim
– Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
7. Datuk Mohd Asna Amin
– Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital
8. Datuk Mohd Razi Mohd Ali
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup
9. Suhaimizan Bizar
– Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO
10. Mohd Fairuz Mohd Isa
– Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan
11. Datuk Razali Abu Samah
– Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan