Pas puas hati dapat 2 Exco, Timbalan Speaker DUN NS

SEREMBAN: Pas berpuas hati dua wakil Perikatan Nasional (PN) masing-masing satu daripada parti itu dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Negeri atau Exco Negeri Sembilan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PN juga ditawarkan memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Kita puas hati, diberi dua orang (Exco) dan satu Timbalan Speaker (DUN Negeri Sembilan),” katanya dipetik pada sidang akhbar di pekarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan Datuk Razali Abu Samah daripada Wawasan antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai Exco Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan hari ini.

Mohd. Fairuz yang merupakan ADUN Serting memegang portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.

ADUN Sikamat, Razali pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri.

PN yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai dua pertiga kerajaan apabila memenangi 25 daripada 36 kerusi DUN dipertandingkan dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.

PN yang memenangi tujuh kerusi iaitu Pas (empat) dan Wawasan (tiga) manakala BN pula 18 kerusi.

Kredit gambar : PN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *