SEREMBAN: Tiga Undang Luak Negeri Sembilan yang dipertikai dan Undang Lual Johol menarik balik permohonan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Besar menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Empat pemohon tersebut ialah
Datuk Mubarak Thahak, Datuk Maarof Mat Rashad dan Datuk Muhammed Abdullah yang masing-masing Undang Luak Sungei Ujong, Jelebu dan Rembu dipertikai serta Undang Luak Johol, Datuk Abd Rahim Yasin.
Peguam pemohon, Khairul Azam Abdul Aziz memberitahu mahkamah permohonan semakan kehakiman itu tidak diteruskan kerana ia sudah menjadi akademik berikutan pelaksanaan proklamasi tersebut oleh
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu.
Permohonan penarikan balik permohonan semakan kehakiman terbabit dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman.
Beliau juga memerintahkan keempat-empat pemohon membayar kos RM10,000 kepada setiap pencelah terdiri daripada,Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya Raja Norazli Raja Nordin,
Undang Sungei Ujong, Faris Johari dan Undang Rembau, Hassan Ab. Hamid.
Penarikan balik permohonan semakan kehakiman itu dibenarkan tanpa kebebasan untuk pemohon memfailkan semula.
Keempat-empat pemohon sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut pada Julai lalu.
Mereka juga memohon satu lagi proklamasi bagi mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.