SEREMBAN: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan berharap ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.
Pengerusi PKR negeri,
Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemelut semasa bukan sahaja melibatkan keabsahan institusi diraja dan adat malah melibatkan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Ketidaktentuan kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh melambatkan urusan penting memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
“Urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya di sini hari ini.
Aminuddin berkata, ia juga boleh
menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga dan memberikan kesan kepada peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pelantikan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) serta anggota majlis
yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat pada peringkat akar umbi juga tidak boleh terus tergantung.
“Ia memberi risiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan.
“Pertikaian berpanjangan menimbulkan persepsi kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan,” katanya.