SEREMBAN : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding komital penghinaan mahkamah terhadap enam plaintif termasuk beberapa pembesar adat Negeri Sembilan yang didakwa melanggar perintah injunksi ad interim dikeluarkan pada 5 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Roz Mawar Rozain selepas membenarkan permohonan dikemukakan peguam yang mewakili keenam-enam plaintif, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Enam plaintif terbabit ialah Datuk Mubarak Dohak, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashid, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah, Dato’ Sedia Raja Abdul Rahim Yasin, Tunku Syed Razman Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.
Menurut Awang Armadajaya, pihaknya telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi menggantung prosiding penghinaan mahkamah di Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan tersebut esok,” katanya ketika prosiding.
Peguam Steven Thiru yang mewakili defendan pertama, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin serta defendan kedua, DKU Negeri Sembilan, memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan itu.
Defendan ketiga iaitu kerajaan negeri yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal turut menyatakan persetujuan terhadap penangguhan berkenaan.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 28 September depan sebagai tarikh baharu bagi keseluruhan prosiding sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 8 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap keenam-enam plaintif berhubung dakwaan melanggar perintah injunksi ad interim.
Pada 5 Jun lalu, Raja Norazli dan DKU memperoleh perintah injunksi ad interim daripada Mahkamah Tinggi bagi menghalang para plaintif daripada mengambil sebarang tindakan berkaitan pertikaian yang menjadi subjek saman pemula tersebut.
Sementara itu, suasana di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini dikawal ketat apabila kehadiran orang ramai dihadkan sebelum prosiding komital bermula.
Dua buah khemah turut didirikan berhampiran pintu pagar utama kompleks mahkamah bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan senarai individu yang dibenarkan memasuki kawasan mahkamah.