SEREMBAN : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi terus mengunci mulut mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi bahawa gabungan itu tidak akan meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengikut maklumat yang diperoleh daripada sumber parti, BN dijangka hanya bertanding di 26 kerusi DUN, manakala baki kerusi dipercayai tidak ditandingi susulan dakwaan wujud persefahaman politik dengan PAS di beberapa kawasan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid hanya mengesahkan pembahagian kerusi kepada parti-parti komponen BN tanpa memperincikan agihan untuk UMNO.
“Agihan dibuat berdasarkan unjuran kebolehmenangan iaitu tujuh kerusi kepada MCA dan empat kerusi kepada MIC.
“Bagi UMNO, jumlah kerusinya akan diumumkan malam ini sama ada oleh saya atau Pengerusi BN Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama bakal calon BN di Wisma UMNO, di sini hari ini.
Menurut beliau, semua bakal calon yang dipilih telah menandatangani Aku Janji serta melafazkan baiah sebagai komitmen kepada parti menjelang PRN.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, proses pemilihan calon telah dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebolehmenangan.
Katanya, senarai calon melibatkan wakil daripada UMNO, MCA dan MIC selain penyertaan calon daripada sayap Wanita serta Puteri UMNO.
“Hari ini Pengerusi BN telah bertemu semua bakal calon yang akan diumumkan malam ini dan segala persiapan telah selesai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan terdapat beberapa penyandang tidak dicalonkan semula selepas mengambil keputusan berundur atas faktor kesihatan dan urusan keluarga.
Selain itu, beberapa penyandang turut dipindahkan ke kerusi lain bagi memperkukuhkan strategi BN menghadapi PRN kali ini.
Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan Ke-16 dijadual berlangsung di Stadium Paroi malam ini.
Pada PRN lalu, BN bertanding di 17 kerusi DUN dan berjaya memenangi 14 daripadanya, dengan kesemua kerusi yang ditandingi diwakili calon UMNO.