NILAI : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor akan dipanggil polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan terhadap kes itu sedang dijalankan dengan rakaman percakapan beberapa saksi sudah diambil.
Menurut beliau, Muhammad Sanusi akan dipanggil bagi dirakam keterangan sebelum kertas siasatan dilengkapkan secepat mungkin.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dan kita akan cuba selesaikan siasatan kes ini secepat mungkin.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Alzafny berkata, seorang pemimpin UMNO Bahagian Rembau turut akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa mengaitkan Institusi Diraja Negeri Sembilan dengan parti politik.
Beliau berkata, setakat tengah malam tadi, polis menerima 11 laporan berhubung kenyataan pemimpin berkenaan.
“Kertas siasatan baharu dibuka semalam dan keterangan pengadu serta beberapa saksi tambahan telah diambil,” katanya.
Menurt beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A(1)Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambah Alzafny, polis turut mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meneliti keseluruhan kandungan video yang menjadi bahan siasatan.
“Secara keseluruhan, sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam, polis menerima 53 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dengan 16 kertas siasatan telah dibuka,” katanya.