Exco Kedah didakwa susulan dakwaan masuk U guna pintu belakang

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Haim Hilman Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan orang awam berhubung kenyataannya yang mencetuskan kebimbangan awam menyentuh isu kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Tertuduh, 53 tahun yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat telah menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang demikian mana-mana orang mungkin terdorong untuk melakukan kesalahan terhadap ketenangan awam.

Antara kenyataan yang dikeluarkan adalah ‘Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit. Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang, UPU dia tak layak, UPU dia tak sampai tahap ikut merit dia kalah. Tapi ayah dia orang kaya, keluarga dia ada duit’.

‘Bukan salah ibu ayah yang ada kemampuan, salah kerajaan tidak menambah tempat di universiti. Dah tahu orang makin ramai pandai, jumlah di fakulti tidak ditambah. Inilah bala yang sedang melanda negara kita’.

Kesalahan berkenaan dilakukan antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas Pas Seremban di sini pada 13 Jun 2026.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [AKta 574], sabit kesalahan, boleh dihukum penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 30 Julai depan.

Media pada 15 Jun lalu melaporkan Universiti Utara Malaysia (UUM) membuat laporan polis berhubung dakwaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara membuka ‘pintu belakang’ untuk memberi peluang pendidikan kepada anak-anak orang kaya yang tidak layak.

Laporan dibuat susulan kenyataan Haim Hilman yang bekas Naib Canselor universiti itu ketika program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *