
SEREMBAN : Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menjadi medan menguji keikhlasan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum gabungan itu menentukan hala tuju politik bagi pilihan raya akan datang.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kejayaan kerjasama BN-PN tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemenangan calon-calon yang ditampilkan, sebaliknya turut bergantung kepada keikhlasan kedua-dua parti dalam memastikan kerjasama itu benar-benar terlaksana.
“Ini bukan soal hendak mencampurkan undi BN dengan PN, tetapi kita mahu menguji keikhlasan kedua-dua parti dalam kerjasama di Negeri Sembilan.
“Sama ada kerjasama ini boleh diteruskan untuk pilihan raya-pilihan raya yang akan datang, ia bergantung kepada sejauh mana keikhlasan itu dapat dibuktikan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sarapan pagi bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin.
Khairy berkata, BN dan PN perlu memastikan undi penyokong kedua-dua parti termasuk pengundi atas pagar tidak berpecah pada PRN kali ini.
“Pemerhatian saya, kita kena bekerja kuat kerana di Johor kita sudah melihat gelombang biru yang cukup utuh dan kuat.
“Namun, Negeri Sembilan sebelum ini ditadbir PH. Walaupun kita menjadi pelengkap di sini, oleh kerana negeri ini ditadbir PH, kitalah yang menjadi underdog,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama antara BN dan PN, pelancaran manifesto serta kekecewaan rakyat terhadap pentadbiran PH di peringkat pusat dan negeri dijangka memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan.
Khairy turut menyeru penyokong BN, PN dan pengundi atas pagar supaya tidak memecahkan undi, sebaliknya memberi sokongan kepada calon yang dipersetujui dalam kerjasama kedua-dua parti itu.
“Saya menyeru supaya kita tidak berpecah. Undi BN, undi PN dan undi atas pagar jangan berpecah kali ini.
“Kita perlu memberi sokongan kepada calon sama ada daripada BN ataupun PN. Di Lenggeng, saya menyeru semua pengundi BN, PN dan atas pagar memberi sokongan kepada calon kita, Datuk Mohd. Asna,” katanya.