Dakwa Anthony jadi MB, perbuatan biadab – Aminuddin

PORT DICKSON : Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendesak Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memohon maaf kerana membangkitkan persoalan kemungkinan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke akan dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya beliau tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mendakwa tindakan Setiausaha Agung UMNO itu biarpun bernada gurauan sebagai perbuatan biadab kepada institusi raja dan adat sert perlembagaan negeri.

“Kita tahu Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan menyatakan hanya Melayu boleh menjadi Menteri Besar, Cina tidak boleh.

“Biadab seperti ini tidak sepatutnya berlalu dlm PRN. Boleh bergurau tetapi tidak kena pada tempat, jangan cari masalah,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kampung Pengkalan Durian, Linggi di sini hari ini.

Terdahulu sewaktu berkempen bersama calon BN Pilah semalam, Asyraf Wajdi membangkitkan persoalan sama ada Anthony akan menjadi menteri besar sekiranya Aminuddin tewas pada PRN Negeri Sembilan minggu depan

Aminuddin kesal Asyraf Wajdi boleh menyentuh dan melanggar sesuka hati perkara sensitif tersebut sedangkan UMNO yang diwakilinya dikatakan amat teguh mempertahan institusi Melayu, Raja dan Islam.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pengerusi Mara tersebut memohon maaf kepada Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan rakyat negeri ini.

“Saya juga minta pimpinan UMNO tegur perbuatan biadab ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *